KUALA SELANGOR: Seorang wanita bersama dua anaknya maut selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi kanak-kanak terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Raja Muda Musa, Bestari Jaya menghala ke Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada tengah hari tadi, kereta jenis Proton Exora yang dinaiki mereka sekeluarga dikatakan melanggar belakang sebuah lori 20 tan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa yang meninggal dunia seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia 12 dan lapan tahun sementara ibunya berusia 44 tahun.

Katanya, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.