PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti langkah menangani kenaikan kos input pertanian termasuk baja dan racun perosak bagi mengurangkan beban petani serta memastikan kelangsungan sektor itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu berkenaan diberi perhatian dalam mesyuarat pra-majlis bersama pasukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai persediaan menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, peningkatan kos pengeluaran memberi kesan langsung kepada pendapatan petani dan keupayaan mereka meneruskan aktiviti pertanian.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada langkah kerajaan menangani peningkatan kos input, termasuk pengecualian cukai jualan, pemantauan harga dan bekalan serta penggunaan input pertanian secara lebih cekap,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.








