LUMUT – Sebuah vesel tangki minyak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Perak selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 5.9 batu nautika dari Pulau Pangkor, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut dikesan bersauh tanpa kebenaran kira-kira pukul 1.26 petang ketika aset APMM sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh lima kru terdiri daripada empat warga Myanmar termasuk nakhoda serta seorang warga Indonesia berusia antara 34 hingga 59 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut serta gagal mengemukakan polisi insurans berkaitan seperti yang ditetapkan,” katanya.








