Kuala Lumpur: Sambutan positif terhadap single sulung, Gila Bayang, menyuntik semangat Ammar Haikal, 19, untuk terus mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan.
Anak kepada vokalis kumpulan Spring, Datuk Ameng ini mengakui tidak menyangka lagu sulung dilancarkannya mendapat perhatian ramai, sekali gus membuka ruang untuknya melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian.
"Sambutan Gila Bayang memang di luar jangkaan saya kerana itu lagu pertama saya. Selalunya, apabila kita melancarkan lagu pertama, kebanyakannya tidak mendapat perhatian meluas.
"Tetapi, apabila Gila Bayang dilancarkan, Alhamdulillah, orang boleh terima dengan baik. Tontonan video muzik (MV) pun ramai, lebih 3.5 juta. Di Spotify pula, saya fikir jumlah pendengar sudah hampir lima juta.









