KUALA LUMPUR – Misteri lebam bawah mata dengan kesan luka kecil di wajah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terjawab menerusi VT (rakaman video pendek) dimainkan pada konsert Tradisional Gema Bumantara malam tadi.
Melalui VT ditayangkan pada pertengahan konsert, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin terjatuh ketika menjalani latihan konsert mega terbabit yang berlangsung di TM Stadium Nasional, malam tadi sekali gus mengakibatkan lebam kecil di bahagian wajahnya.
Siti dilihat berlatih melakukan aksi melompat menggunakan tali apabila kakinya tersadung sehingga menyebabkan beliau jatuh tersembam ke lantai.
Insiden itu menyebabkan kecederaan ringan, termasuk luka kecil di bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.









