SETIAP tahun, ribuan mahasiswa melangkah keluar dari universiti dengan segulung ijazah untuk membina kerjaya dan kehidupan. Namun, persoalan yang wajar direnungkan ialah sama ada hubungan mereka dengan universiti turut berakhir pada hari konvokesyen.

Hakikatnya, konvokesyen bukanlah titik penamat, sebaliknya permulaan hubungan baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan universiti, industri dan negara.

Justeru, hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menggerakkan jaringan alumni sebagai salah satu daripada tujuh tujahan utama KPT bagi tahun 2026 dengan sokongan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI), adalah langkah strategik yang wajar disambut seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.