Putrajaya: Lebih 150 penceramah dan 60 sesi forum bakal menghimpunkan pemain industri pengangkutan tempatan serta antarabangsa menerusi Transport Expo Asia (TXA) 2026, di Kuala Lumpur, bermula 20 Oktober ini.

Dianjurkan Kementerian Pengangkutan (MOT), acara selama tiga hari di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu akan mengetengahkan perkembangan teknologi serta hala tuju masa depan pengangkutan, termasuk kenderaan elektrik (EV), pemanduan autonomi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan logistik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, TXA 2026 menjadi platform strategik untuk mencorakkan masa depan pengangkutan negara menerusi perkongsian idea, penerokaan teknologi dan pengukuhan kerjasama strategik.