KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian bagi memperkukuh perancangan strategik pembangunan Kedah Rubber City (KRC) menerusi kerjasama dengan Indonesia dan Thailand.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, berkata kajian di bawah Working Group on Trade and Investment Facilitation (WGTI) itu dijangka mengambil masa enam bulan dan siap pada awal suku kedua 2027.

Katanya, kajian berkenaan bertujuan menilai potensi kerjasama antara tiga negara terbabit, khususnya dalam memperkukuh rangkaian pengeluar dan pembekal industri getah, selain memperluas akses pasaran KRC ke peringkat global.

"Status terkini adalah surat perjanjian (LOA) sudah ditandatangani oleh perunding rasmi yang dilantik. Kajian ini akan mengambil tempoh masa enam bulan dan dijangka siap pada awal suku kedua tahun 2027.