Kathmandu: Kerajaan Nepal mengumumkan rancangan memperluas sistem amaran awal banjir di enam lembangan sungai utama dan menurunkan paras air di empat tasik glasier berisiko tinggi.
Langkah itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana susulan peningkatan risiko berkaitan perubahan iklim di wilayah Himalaya, lapor Xinhua.
Menurut dokumen yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air serta Jabatan Hidrologi dan Meteorologi, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh untuk menambah baik ramalan banjir, mengurangkan risiko banjir akibat limpahan tasik glasier (GLOF) serta memodenkan sistem ramalan cuaca menggunakan teknologi canggih.
Perkara itu dimaklumkan oleh sekretariat Kementerian Tenaga, Sumber Air dan Pengairan Nepal menerusi kenyataan media pada Ahad.








