KUALA LUMPUR: Penyerang Selangor, Eduardo Sosa memberi bayangan betapa pasukannya tidak akan turun dengan corak permainan bertahan apabila berdepan Kuching City dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, 8 November ini.

Sebaliknya, pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan Gergasi Merah tetap akan cuba mendapatkan kemenangan di Stadium Taha Ariffin, Kuching dan meraih tiket ke final.

Berbekalkan kemenangan 2-1 pada aksi pertama, Jumaat lalu, dia yang meledak kedua-dua gol Selangor itu menegaskan pasukannya perlu mengulangi persembahan terbaik bagi memastikan kelebihan yang dibawa tidak dipadam Kuching City.

Dia bagaimanapun tetap mengakui bahawa Selangor perlu berwaspada dengan kebangkitan The Cats apatah lagi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu juga memiliki pasukan yang berkualiti.