JAKARTA: Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) mulai hari ini bagi mengutamakan keperluan tenaga domestik susulan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga.

Pengurangan itu melibatkan bekalan gas melalui saluran paip dari Natuna dan Sumatera, beberapa hari selepas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, membangkitkan kemungkinan menghentikan eksport gas ke negara jiran.

Pengawal selia sektor huluan minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, memaklumkan eksport dari Natuna dikurangkan sebanyak 15 BBTUD, manakala bekalan dari Sumatera dipotong sebanyak 16 BBTUD, menurut laporan media tempatan.

Ketua SKK Migas, Djoko Siswanto, berkata langkah itu berkuat kuasa pada Sabtu, dengan pengurangan bekalan dari Sumatera melibatkan medan gas Jambi Merang.