Kuala Lumpur: Seorang penyelia yang maut dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar awal pagi tadi, baru empat bulan mendirikan rumah tangga.

Bapa mangsa Fazli Buyong, 56, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu, Faris Irfan, 28, berkahwin pada 13 Jun lalu.

Beliau berkata Allahyarham sepatutnya pulang ke rumah tengah hari tadi untuk memasak bagi keluarga selepas selesai bekerja dan berehat seketika.

"Dia beritahu hari ini lepas habis kerja dan tidur sekejap, tengah hari tu dia nak datang (rumah) dan nak masak untuk kami... tetapi malangnya perkara itu tidak kesampaian," katanya ketika dihubungi Bernama.