KUALA LUMPUR – Seorang penyelia kerja pemasangan papan tanda maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan di Lebuh Raya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala seorang lagi pekerja lelaki berusia 49 tahun cedera di kepala dan tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.08 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lima pekerja, termasuk seorang penyelia, pemandu lori dan tiga warga Bangladesh, sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).