JOHOR BAHRU – Semua institusi pendidikan di Johor akan beroperasi semula mulai Isnin ini, 26 Oktober, selepas mengambil kira perkembangan positif situasi jerebu dan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan mengambil kira penilaian agensi berkaitan.
“Trend penurunan bacaan IPU di seluruh Johor sejak lima hari lalu, selain perubahan arah angin, peningkatan kelembapan dan jangkaan hujan, dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu.
“Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.









