Kuala Lumpur: Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) memulakan jelajah promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-14 di sekitar ibu negara hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027 Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata ia merangkumi lima lokasi strategik, iaitu Pasar Seni, The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
"Pelbagai aktiviti interaktif dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat menjelang penganjuran dua temasya ini pada tahun depan dengan antara pengisian utama ialah perarakan trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya.
"Selain itu, turut diadakan sesi ramah mesra dengan atlet negara, penampilan maskot rasmi TUAH, persembahan pancaragam dan pasukan sorak, permainan interaktif bertemakan sukan, pengagihan cenderamata serta sesi fotografi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jelajah promosi itu di sini hari ini.










