Kulai: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 275,785 MyKad generasi baharu di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 17 September lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, Johor mencatatkan jumlah pengeluaran tertinggi setakat 20 Oktober lalu iaitu 31,392, diikuti Kuala Lumpur (29,601), Selangor (26,736), Sarawak (25,642) dan Sabah (22,523).

"Jumlah pengeluaran itu menunjukkan sambutan baik daripada masyarakat terhadap penggunaan MyKad generasi baharu yang dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 dan peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) JPN 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak, di sini, hari ini.