GUA MUSANG - Sebanyak 202,829 keping MyKad Generasi Baharu dikeluarkan di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 17 September hingga 11 Oktober lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias.Beliau berkata, berdasarkan rekod Sistem Bersepadu Identiti Pintar (SIIS), jumlah pengeluaran itu meningkat sebanyak 33,483 keping atau kira-kira 19.8 peratus kepada 169,346 keping setakat 6 Oktober."MyKad Generasi Baharu bukan sekadar menampilkan perubahan rupa, malah memperkukuh keselamatan identiti melalui 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri sebelum ini."Penambahbaikan itu bertujuan memperkukuh integriti dokumen serta mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan identiti," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar di sini pada Selasa. Beliau berkata, jumlah permohonan MyKad pada September lepas turut meningkat 25 peratus berbanding Ogos tahun sama.Badrul Hisham berkata, lima negeri dan wilayah yang merekodkan pengeluaran tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 24,006 keping, diikuti Johor (21,448 keping), Sarawak (19,069 keping), Selangor (16,959 keping), Sabah (16,814 keping) dan Kelantan (9,722 keping).Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, Pemegang MyKad sedia ada tidak perlu tergesa-gesa menukar kad pengenalan kepada versi baharu kerana kad lama masih boleh digunakan untuk urusan berkaitan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan BUDI MADANI selagi cip berfungsi.Beliau berkata, pengenalan MyKad baharu tidak mewajibkan orang ramai menukar kad pengenalan masing-masing dengan segera, terutama jika kad sedia ada masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan seperti biasa."Sekiranya tidak berlaku kerosakan cip, boleh menuntut STR, isi minyak dan menggunakan BUDI MADANI. Orang awam tidak perlu datang ke JPN untuk menukar kad," katanya.Sementara itu, beliau turut meminta penyedia perkhidmatan menaik taraf sistem pembaca kad masing-masing bagi memastikan proses pengesahan identiti elektronik (eKYC) dapat dilaksanakan dengan lancar menggunakan MyKad baharu.Beliau berkata, JPN telah memulakan rundingan dengan penyedia perkhidmatan sejak Jun lepas bagi memastikan keserasian sistem pengesahan identiti elektronik itu dengan MyKad baharu.Bagaimanapun, Badrul Hisham berkata, usaha berkenaan memerlukan komitmen daripada pihak penyedia perkhidmatan, termasuk dari segi kewangan, bagi meningkatkan keupayaan sistem masing-masing untuk membaca dan mengesahkan maklumat pada kad pengenalan itu.Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 69 daripada 70 pusat pengeluaran kad telah menyempurnakan Ujian Penerimaan Akhir (FAT) setakat 7 Okt lepas dan memulakan operasi.Baki sebuah pusat, iaitu JPN Daerah Langkawi, dijadualkan menjalani FAT pada 17 Oktober sebelum memulakan operasi pada keesokan harinya, tertakluk kepada kelancaran pelaksanaan.Dalam usaha meningkatkan akses perkhidmatan