GUA MUSANG – Dua beradik teruja apabila menjadi warga emas Orang Asli kaum Temiar terawal di Pos Hau di sini yang menerima MyKad generasi baharu.
Gerumin Along, 78, dan adiknya, Alem Along, 77, menyifatkan penerimaan kad pengenalan baharu itu sebagai sesuatu yang bermakna selepas berdepan kesukaran untuk keluar dari penempatan mereka bagi melakukan urusan di bandar.
Gerumin berkata, faktor usia, masalah penglihatan dan kedudukan penempatan yang jauh dari bandar menyebabkan dia sukar untuk membuat penggantian kad pengenalan.
“Keadaan jalan untuk keluar dan masuk juga jauh serta masih melalui jalan tanah. Saya sangat lega apabila kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) datang ke sini dan membantu saya mendapatkan MyKad baharu,” katanya ketika ditemui di Pos Hau, di sini semalam.









