PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff segera diberikan kesembuhan selepas cedera dalam kemalangan di Kilometer 7, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU), semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau turut berharap Siti Zailah,63, tabah menghadapi dugaan berkenaan dan segera dikurniakan kekuatan untuk kembali berkhidmat kepada rakyat.

Terdahulu, media melaporkan, Siti Zailah dan anak perempuannya berusia 26 tahun terbabit dalam kemalangan ketika menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man sebelum ini dilapor berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur bagi urusan kerja sebelum terbabit dalam kemalangan itu. – KOSMO! ONLINE