PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff yang cedera dalam kemalangan semalam segera diberikan kesembuhan.
“Berharap Yang Berhormat tabah dan segera dikembalikan kekuatan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kejadian itu, Siti Zailah, 63, bersama anak perempuannya berusia 26 tahun dilaporkan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama berhampiran Kechau Tui, Kuala Lipis, Pahang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kedua-duanya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.








