SHAH ALAM: Risiko dan keperluan menaik taraf jalan di Persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari dibawa ke Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi melihat keberkesanan cadangan penyelesaian jangka sederhana dan panjang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihaknya sudah pun dimaklumkan oleh JKR Selangor berkenaan cadangan pembinaan laluan bertingkat kawasan berkenaan.
“Sehingga kini terdapat pelbagai tindakan sudah pun dilakukan oleh JKR Selangor terhadap perancangan bagi menyelesaikan risiko kesesakan dan keselamatan pengguna di jalan berkenaan.
“Bagi penduduk pula, mereka mahukan satu flyover yang lebih menjamin keselamatan, walau bagaimanapun kita melihat dari segi tindakan diambil oleh JKR Selangor,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan 200,000 pelitup muka pelajar kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.









