JOHOR BAHRU: MIC komited menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, walaupun parti itu hanya meletakkan calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kempen secara menyeluruh akan diteruskan di kawasan-kawasan lain bagi membantu rakan komponen BN.
Menurutnya, siri perbincangan strategik kini giat dijalankan bagi menyusun perancangan gerak kerja kerana sokongan padu daripada masyarakat India disifatkan amat penting.
Mengambil kira keputusan di PRN Negeri Sembilan sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa walaupun MIC tewas di dua kerusi DUN yang ditandingi, parti itu tetap mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan memperoleh kira-kira 49 peratus sokongan pengundi India.








