BERMULA daripada lakaran di atas kertas, sebelum kereta dipasang satu demi satu komponen dalam tempoh dua bulan. Usaha keras sekumpulan pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu itu akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Formula Student Malaysia 2026.

Pasukan Formula Racing Automotive Centre of Technology (FRATeC) PSMZA muncul juara keseluruhan bagi kategori 150cc (pembakaran dalaman) selepas merangkul gelaran Johan Statik dan Johan Dinamik pada pertandingan berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Perak baru-baru ini.

Pensyarah pembimbing pasukan itu, Rosli Abdul Aziz berkata, kejayaan tersebut membuktikan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal malah mampu bersaing dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain di peringkat kebangsaan.