KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menikam isterinya dengan pisau dan mencederakan ibu mentua di sebuah rumah di Padang Lepai, Ketereh, minggu lalu.

Shahrul Shahrizal Che Shaari, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah dan Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menikam isterinya, Zulaiha Mat Zain, 44, menggunakan pisau sehingga mengalami kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Padang Lepai, Ketereh jam 8.30 malam Isnin lalu.