KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut, manakala rakannya cedera akibat dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian jam 5 pagi tadi, mangsa dikatakan sedang mengemas peralatan selepas selesai kerja memasang papan tanda amaran di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata, kemalangan berlaku di laluan dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan.









