Sibu: Sebanyak 46 projek berkaitan air membabitkan peruntukan keseluruhan RM7.4 bilion akan dilaksanakan di Sarawak menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh keterjaminan sumber air serta mengurangkan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan RM5.8 bilion daripadanya membabitkan pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek JPS itu meliputi tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai.

"Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.