Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan kemaraan cemerlang apabila layak ke final Terbuka Perancis yang berstatus Super 750.
Mereka berjaya mara ke final untuk kali kedua musim ini selepas menewaskan pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui pada separuh akhir di Arena Grand Paris, hari ini.
Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking ke-31 dunia mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan pasangan pilihan keenam itu secara straight set 21-13, 21-9 dalam tempoh 31 minit.
Kemenangan itu membolehkan pasangan profesional negara berkenaan membuat penampilan final kedua mereka tahun ini selepas turut melangkah ke perlawanan akhir Masters China pada September lalu.









