JAKARTA: Lukisan gua tertua di dunia yang terletak di pulau Sulawesi, Indonesia, kini berdepan ancaman kemusnahan berikutan cuaca panas dan kepulan asap daripada kebakaran hutan terburuk di negara itu dalam tempoh berdekad.
Indonesia kini bergelut dengan krisis kebakaran hutan paling buruk sejak 2015, didorong fenomena El Nino yang menaikkan suhu serta mengurangkan taburan hujan hingga menyebabkan kawasan hutan dan tanah gambut mudah terbakar.
Meskipun Pulau Sumatera dan Borneo menerima kesan terburuk, kebakaran turut merebak ke Sulawesi termasuk wilayah Sulawesi Selatan yang menempatkan gua batu kapur bersama khazanah seni prasejarah tertua dunia.
Di sebuah gua di Maros-Pangkep, Sulawesi Selatan, lukisan yang menggambarkan figura seperti manusia berinteraksi dengan seekor babi disahkan penyelidik dari Universiti Griffith, Australia, berusia sekurang-kurangnya 51,200 tahun.










