Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Penduduk Bukit Jalil terus menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan pembinaan 17,000 unit kediaman di Bandar Madani, Bukit Jalil.

Ia dibangkitkan menerusi Sesi Libat Urus Bersama Wakil Penduduk dan Pihak Berkepentingan bagi Peringkat Laporan Interim: Kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil, hari ini.

​Pengerusinya, Zainuddin Zainal, berkata infrastruktur sedia ada terutamanya laluan trafik utama kini berada pada tahap tepu dan tidak lagi mampu menampung kepadatan penduduk setempat.

Beliau berkata, kualiti aliran trafik di Lebuh Raya Bukit Jalil berada pada Tahap Perkhidmatan 'D' (Level of Service - LOS), menunjukkan keadaan lalu lintas amat padat dan tidak memuaskan.