PERTH: England kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala Dunia Ragbi Liga selepas membelasah Perancis 82-0 dalam aksi Kumpulan B, hasil hatrik Herbie Farnworth dan Dominic Young, semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan England meledak 14 try di Perth, sekali gus bangkit daripada kekalahan 12-30 kepada Tonga dalam aksi pembukaan untuk merekodkan kemenangan pertama di bawah bimbingan ketua jurulatih Brian McDermott.
Bagaimanapun, laluan England ke kelompok empat terbaik masih berliku apabila mereka perlu menewaskan Papua New Guinea pada 30 Oktober ini di Wollongong, selain mengharapkan Tonga menundukkan Samoa.
Hanya dua pasukan terbaik daripada Kumpulan B dan C kejohanan yang membabitkan 10 negara itu layak ke separuh akhir, menjadikan pertembungan seterusnya sebagai aksi hidup mati buat England yang kini memiliki rekod satu menang dan satu kalah.









