BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat.Pilihan kelima itu memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan pilihan utama kejohanan berkenaan 21-15, 21-18 pada aksi suku akhir kejohanan Super 750 di Arena Grand Paris.Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini menghuni ranking kelima dunia seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan satu lagi gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min 21-14, 21-19.Turut ke kelompok empat terbaik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas perlawanan menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti ketika mereka mendahului 5-0, susulan kecederaan di bahagian kaki yang dialami Wooi Yik.Pasangan ranking ke-11 dunia itu dijadualkan berdepan wakil Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang menundukkan pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 23-21, 21-18.Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-12, 21-15.Pearly-Thinaah dijangka berdepan cabaran getir berdepan pasangan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi separuh akhir.Terdahulu, pasangan Jepun itu mengetepikan rakan senegara, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida 21-18, 16-21, 21-15. - Bernama