KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pagi tadi.

Pilihan kelima itu memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan pilihan utama kejohanan berkenaan 21-15, 21-18 pada aksi suku akhir kejohanan Super 750 di Arena Grand Paris.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini menghuni ranking kelima dunia seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan satu lagi gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Lee Jong Min 21-14, 21-19.

Turut ke kelompok empat terbaik Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas perlawanan menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti ketika mereka mendahului 5-0, susulan kecederaan di bahagian kaki yang dialami Wooi Yik.