LISBON: Thailand mengalu-alukan usaha Amerika Syarikat (AS) menjalin semula hubungan dengan Myanmar dan menjangkakan ASEAN turut membincangkan masa depan negara itu pada sidang kemuncak di Manila, Filipina, November depan.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, berkata perbincangan itu penting bagi menentukan langkah seterusnya terhadap Myanmar, yang tidak dibenarkan menyertai mesyuarat peringkat tinggi ASEAN sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

"Kami tidak mahu melihat Myanmar terasing dan tidak mahu Myanmar menjadi medan persaingan geopolitik. Justeru, hubungan yang dijalin AS adalah sesuatu yang kami alu-alukan," katanya kepada Reuters semalam.

Sihasak, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand, berkata usaha menjalin hubungan itu tidak bermaksud mengiktiraf kerajaan tentera Myanmar, sebaliknya bertujuan menggalakkan penyelesaian konflik secara aman dan perdamaian dengan pihak pembangkang.