KUALA LUMPUR: Pelanggan hanya perlu mendaftar masuk ke sebuah hotel bajet sebelum memilih wanita warga asing yang dipercayai ditawarkan sebagai teman untuk khidmat seksual.
Taktik sindiket yang disyaki menjadikan hotel dua tingkat di Sri Petaling sebagai pusat kegiatan pelacuran itu terbongkar dalam serbuan Ops Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, petang semalam.
Wartawan yang mengikuti operasi itu difahamkan pelanggan tidak perlu membuat tempahan secara dalam talian, sebaliknya boleh terus datang ke premis.
Sindiket berkenaan bagaimanapun dipercayai turut memaparkan katalog wanita menerusi media sosial bagi menarik pelanggan.









