JASIN: Lelaki berusia 54 tahun ditemukan meninggal dunia di atas kerusi urut di rumahnya di Ayer Merbau, Bemban, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.11 pagi sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit, Gwee Beng Soon, dipercayai tinggal bersendirian di rumah ketika kejadian, kerana isterinya bercuti di luar negara sejak seminggu lalu.

Katanya, kematian individu itu terbongkar selepas anak mangsa berusia 21 tahun membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ibunya menerusi panggilan telefon kira-kira jam 5 pagi tadi.