Jasin: Lelaki berusia 54 tahun ditemukan meninggal dunia di atas kerusi urut di rumahnya di Ayer Merbau, Bemban, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.11 pagi sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit dipercayai tinggal bersendirian di rumah ketika kejadian, kerana isterinya bercuti di luar negara sejak seminggu lalu.
Katanya, kematian individu itu terbongkar selepas anak mangsa, 21, membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ibunya menerusi panggilan telefon kira-kira 5 pagi tadi.








