PORT DICKSON – Seorang isteri membuat laporan polis semalam selepas suaminya, R. Shanmugam, 41, dilaporkan hilang sejak enam hari lalu, selepas keluar dari rumah pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd. Adnan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta membantu polis mengesan keberadaannya.

“Shanmugam mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter, berat 50 kilogram, berbadan kurus, berambut pendek berwarna hitam dengan sedikit uban serta berkulit gelap.

“Ketika kali terakhir dilihat, lelaki itu memakai baju-T berkolar lengan pendek berwarna biru tua dengan tulisan SCKP Aviation Maintenance & Services di bahagian belakang, seluar jeans panjang lusuh berwarna biru dan selipar putih,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.