MELAKA – Polis berjaya menahan sepasang kekasih dan merampas sepeket dadah disyaki syabu seberat 0.22 gram selepas mengejar kenderaan suspek kira-kira satu jam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Tengkera di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun dan wanita 32 tahun, kedua-duanya warga tempatan, ditahan pada pukul 7.20 malam oleh anggota pasukan khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Katanya, pada pukul 6.20 petang semalam, kereta Proton Saga yang dinaiki kedua-dua suspek dipercayai pasangan kekasih dikesan anggota BPJKK dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah apartmen di Tengkera.









