KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Terbuka Denmark dengan bergaya apabila menyingkirkan juara bertahan, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun untuk mara ke pusingan kedua, tengah malam tadi.
Pasangan nombor empat dunia itu mencatat kemenangan 21-19, 14-21, 21-11 dalam pertarungan selama 51 minit di Arena SJF Bank, Odense.
Pertembungan dua bekas juara dunia itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan momentum selepas memenangi set pertama sebelum Hoki-Kobayashi bangkit menguasai set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, pasangan negara itu kembali fokus pada set ketiga dan mengurangkan kesilapan mudah untuk mengawal permainan sebelum mengesahkan kemenangan 21-11.






