Ayer Keroh: Sebanyak RM1.618 juta disalurkan kepada pertubuhan belia dan persatuan sukan di Melaka sepanjang tahun ini bagi memperluas aktiviti pembangunan belia, sukan komuniti dan program rekreasi di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, daripada jumlah itu, RM985,160 disalurkan kepada 148 persatuan menerusi Dana Sukan Komuniti (DSK), manakala RM633,290 lagi diberikan kepada 84 persatuan melalui Dana Belia dan Sukan menerusi sistem E-Bantuan SPSB.

Menurutnya, bantuan berkenaan membolehkan persatuan melaksanakan pelbagai program yang bukan sahaja menggalakkan penglibatan golongan muda, malah memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.