MELAKA – Pertubuhan belia dan persatuan sukan di negeri ini menerima peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi memperkasakan pembangunan belia, menggalakkan gaya hidup aktif serta memperluas penyertaan sukan di peringkat akar umbi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi dua saluran utama, iaitu Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Dana Belia dan Sukan melalui E-Bantuan Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu (SPSB).
“Daripada jumlah RM1,618,450, sebanyak RM985,160 diperuntukkan menerusi DSK kepada 148 persatuan bagi menyokong penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti dan akar umbi.
“Sementara itu, RM633,290 lagi disalurkan melalui E-Bantuan SPSB kepada 84 persatuan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda,” katanya.










