BANGKOK – Seorang lelaki Thai mendakwa bahawa kedai makan sebuah hospital di Bangkok menuntut dia membayar ganti rugi 1 juta baht (RM121,000) kerana menayangkan klip video di laman sosial untuk mengadu mengenai sepinggan nasi pad krapow ayam yang berharga 260 baht (RM31.45), lapor laman berita VNExpress semalam

Pemilik kedai memfailkan saman fitnah di bawah Akta Jenayah Komputer serta Undang-Undang Penetapan Harga Barang dan Perkhidmatan, lapor saluran berita Thailand, Channel 3 pada 20 Oktober lalu.

Aduan turut dibuat terhadap isterinya dan dia telah berunding dengan peguam tentang cara melawan kes tersebut.

Lelaki itu membawa anaknya berjumpa doktor di hospital berkenaan dan singgah makan di medan seleranya, baru-baru ini. Dia memesan nasi pad krapow ayam dengan telur goreng, namun hanya mengetahui harganya ialah 260 baht apabila membuat pembayaran.