PETALING JAYA: Kehilangan khidmat Faisal Halim akibat kecederaan sewaktu beraksi pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 bulan lalu menyaksikan Selangor FC (SFC) mengambil langkah rasmi mengemukakan tuntutan pampasan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang memaklumkan bahawa kelab kini dalam fasa melengkapkan fail serta dokumentasi berkaitan bagi memenuhi prosiding pampasan berkenaan.

"SFC akan mengumpul dokumen yang diperlukan untuk menyokong tuntutan kepada FIFA itu," katanya.

Menurut Johan, permohonan terbabit dibuat berdasarkan garis panduan perlindungan pemain yang ditetapkan oleh badan induk dunia berkenaan.