KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke final Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, malam ini.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 47 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 22-20 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Arena Grand Paris.

Kemenangan ke atas pilihan ketiga itu menyaksikan Pearly-Thinaah yang menghuni ranking keempat dunia kini hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu.

Mereka sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Terbuka Denmark minggu lalu dan kini berpeluang meneruskan momentum kemenangan di bumi Perancis.