PUTRAJAYA: Peruntukan RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bakal membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk meneroka kerjasama antarabangsa, mengembangkan bakat baharu serta menghasilkan kandungan yang memenuhi keperluan pasaran digital.
Permohonan bagi enam kategori dana di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu akan dibuka mulai 16 November ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, enam kategori berkenaan ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka atau Cereka Animasi, Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar atau Platform OTT, Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR) dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.









