JOHOR BAHRU: "Dia isteri yang amat baik, sanggup menjaga saya walaupun turut menderita kanser selain sentiasa berusaha mencari rezeki demi keluarga."

Demikian luahan penyanyi kumpulan nasyid Iman Heart, Zek Ayry Khan Zarak Khan, 47, selepas pemergian isterinya, Noor Diana Hashim, 47, yang meninggal dunia pagi tadi akibat kanser payudara.

Zek Ayry Khan yang kini turut diuji dengan kanser pangkal hidung tahap empat berkata, dia sama sekali tidak menyangka teman hidupnya itu dijemput Allah lebih awal, menjelang rawatan kemoterapi yang dijadualkan berlangsung pada 6 November depan.

Menurutnya, keluarga mereka ketika ini sedang giat mengumpul dana bagi membiayai rawatan di sebuah pusat perubatan di bandar raya ini seperti yang dinasihatkan doktor.