Johor Bahru: "Saya memohon bantuan orang ramai kerana masa semakin suntuk. Saya perlu menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin," kata isteri penyanyi kumpulan nasyid Iman Heart, Noor Diana Hashim, 47.

Noor Diana berkata, akibat sel kanser dalam tubuhnya sudah merebak ke hati, paru-paru, tulang belakang serta leher dia terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen sepanjang masa termasuk ketika tidur.

Menurutnya, manakala bengkak air pada tangan kirinya selepas menjalani pembedahan payu dara pada empat tahun lalu semakin buruk hingga pergerakannya terhad.

Katanya, bagi mengelakkan keadaannya bertambah buruk, dia disaran menjalani rawatan kemoterapi dalam tempoh terdekat.