SHAH ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melaksanakan kerja naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari (B49) berdekatan Alam Budiman di sini menerusi kelulusan peruntukan RM4.2 juta oleh kerajaan negeri sejak 2023 sehingga kini.

JKR negeri dalam kenyataannya, memaklumkan pelaksanaan kerja bagi meningkatkan aspek keselamatan itu antaranya penambahan perabot jalan, pemasangan lampu jalan dan penambahbaikan laluan sedia ada.

"Isu keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari dipandang serius dan kami mengambil beberapa tindakan jangka pendek susulan peningkatan pembangunan serta pertambahan trafik di sepanjang laluan itu," menurut kenyataan yang dikeluarkan susulan piket oleh Persatuan Penduduk Alam Budiman dan penduduk setempat yang antara lain menggesa pembinaan segera jejambat di persimpangan itu.