KUANTAN: Pasukan Pahang Rangers tampil garang menewaskan Selangor FC 4-3 pada saingan pertama final Liga Futsal Perdana Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA, sebentar tadi.
Usaha memburu gol awal dilakukan pemain kedua pasukan hingga mengundang aksi keras dipamerkan, kemuncak kekasaran dilakukan Harith Naim Md Nasir pada minit kelapan hingga mengundang pengadil melayangkan kad merah pada pemain Pahang Rangers itu.
Pelawat yang tampil garang apabila mendapat gol pertama pada minit ke-11 menerusi pemain import mereka, Evandro Borges yang mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Afiq Abd Rahman.
Tersentak dengan jaringan Selangor, Pahang Rangers bangkit melakukan beberapa percubaan menerusi penjaring terbanyak mereka Felipe de Souza.








