KUALA LUMPUR: Seramai 55 individu, dengan 53 daripada warga China, ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tembok 01/2026 bagi membanteras pelbagai kesalahan dan aktiviti jenayah membabitkan warga China di ibu negara, semalam.
Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin, yang menjadi tumpuan warga China berhibur serta satu unit kediaman di Persiaran KLCC yang dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian permainan 'poker'.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama ke atas pusat hiburan itu membawa kepada penahanan 50 individu dengan 49 daripadanya adalah warga China.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan selain 26 lelaki dan 23 wanita warga China dengan kesemuanya berusia 19 hingga 44 tahun.








